Tuesday, September 21, 2010

Malayan Union




INFO RINGKAS
Malayan Union yang ditubuhkan pada 1 April 1946 di King's House (Carcosa Seri Negara) selepas Perang Dunia II merupakan sebuah gabungan Negeri-Negeri Melayu dengan Negeri-Negeri Selat (tanpa Singapura) untuk menjadi pengganti British Malaya.



BUTIRAN UTAMA MALAYAN UNION
Rancangan Malayan Union yang akan melibatkan Negeri-Negeri Selat, tetapi tidak termasuk Singapura, akan terdiri daripada Majlis Perundangan dan Majlis Mesyuarat Kerajaan yang diketuai oleh seorang Gabenor British. Sultan-sultan Melayu masih akan mengekalkan kedudukan masing-masing tetapi dalam bidang kuasa yang sangat terhad, iaitu berkaitan tentang agama Islam dan adat Istiadat orang Melayu sahaja. Sebaliknya pihak British akan terus memerintah melalui sebuah majlis penasihat yang diluluskan oleh gabenor Malayan Union. Kerajaan Malayan Union akan mengambil alih semua aset negeri-negeri Melayu, kecuali aset yang berkaitan dengan agama Islam dan harta peribadi sultan-sultan. Di Pulau Pinang dan Melaka yang tidak mempunyai sultan, Pesuruhjaya Residen akan menjadi ketua pentadbiran. Beliau diberi banyak kuasa dan hanya bertanggungjawab kepada Gabenor. Ini sekaligus menunjukan kedaulatan British di Tanah Melayu. Di mana pihak British bertindak mengawal semua perkara mengenai Tanah Melayu. Dan mereka lebih berkuasa berbanding sebelum pendudukan Jepun.

Skim Malayan Union juga mencadangkan undang-undang baru yang memberikan kewarganegaraan kepada semua orang yang dilahirkan di Tanah Melayu dan Singapura, serta pendatang yang tinggal di sana selama sekurang-kurang 10 tahun daripada 15 tahun sebelum 15 Februari 1942. Semua warganegara Malayan Union yang baru itu akan mempunyai hak-hak yang sama, termasuk penerimaan masuk untuk perkhidmatan awam. Akhir sekali, kewarganegaran Tanah Melayu diberikan kepada semua tanpa diskriminasi kaum dan kepercayaan atau pun turut dikenali sebagai 'jus soli'.


PENUBUHAN UMNO
Pada 1 Mac 1946, sebuah Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu (Pan-Malayan Malay Congress) diadakan di di Kelab Sultan Suleiman, Kuala Lumpur. Disertai oleh kira-kira 200 orang wakil Melayu daripada 41 buah persatuan, kongres itu membincangkan pembentukan gerakan nasional Melayu, serta kempen terselaras untuk menentang Malayan Union. Sebuah jawatankuasa dilantik untuk mendraf perlembagaan untuk penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO).

Pada 1 Mei 1946, Kongres Melayu Seluruh Tanah Melayu Ke-2 diadakan di Johor Bahru. Dalam kongres itu, pembentukan UMNO diisytiharkan dan Dato Onn Jaafar, Menteri Besar Johor, dipilih sebagai Presiden pertama. Kongres itu juga mengisytiharkan bahawa perjanjian-perjanjian MacMichael tidak sah dan mendesak bahawa Malayan Union dimansuhkan.



PELAKSANAAN MALAYAN UNION
Meskipun penentangan orang-orang Melayu begitu hebat, kerajaan British enggan menarik balik pelakasanaan rancangan Malayan Union. Sebaliknya, kerajaan British mendesak bahawa Malayan Union dilaksanakan dengan segera supaya Pentadbiran Tentera British yang memerintah Tanah Melayu sejak akhir Pendudukan Jepun dapat dibatalkan.

Malayan Union diisytiharkan pada 1 April 1946 dengan Edward Gent merupakan Gabernor yang pertama. Bagaimanapun, penentangan terhadap Malayan Union adalah sangat kuat sehingga rancangan itu tidak dapat dikuatkuasakan dengan sepenuhnya. Malah pada majlis perlantikan Edward Gent sebagai Gabernor yang pertama majlis tersebut telah dipulau oleh sultan-sultan Melayu. Ia adalah kesan daripada tindakan orang-orang Melayu yang telah berhimpun di luar rumah tumpangan yang didiami oleh sultan-sultan Melayu yang ingin menghadiri ucapara perlantikan tersebut. Ketika itu Orang-orang melayu telah bertindak berkabung dengan cara melilit kain putih pada songkok. Orang-orang Melayu yang berkumpul itu telah menghantar wakil mereka iaitu Dato' Onn Jaafar untuk berunding dengan sultan-sultan agar turut memulaukan upacara tersebut. Melihatkan sokongan rakyat yang begitu kuat mempertahankan tahta mereka, telah menyedarkan sekelian baginda sultan untuk turut berjuang bersama-sama rakyat jelata untuk menggagalkan Malayan Union. Akhirnya,Malayan Union dibatalkan pada 1 Februari 1948 selepas itu untuk mengantikan Malayan Union yang telah gagal itu pihak British terpaksa menurut kehendak masyarakat Melayu yang bertindak melalui UMNO untuk mengwujudkan Persekutuan Tanah Melayu . Penggantian konsep Persekutuan Tanah Melayu yang baru itu dengan skim Malayan Union yang tidak popular dicapai, melalui perundingan antara pihak British, sultan-sultan Melayu dan UMNO.

Pembentukan Persekutuan Tanah Melayu merupakan suatu kemenangan untuk orang-orang Melayu tetapi disambut dengan kecewa oleh beberapa golongan-golongan di dalam etnik yang lain. Bagaimanapun, mereka yang menentang cadangan Persekutuan tidak mempunyai sokongan di Tanah Melayu sendiri. Serta lobi Parlimen dan penyokong-penyokong di London yang telah membantu dalam pembatalan skim Malayan Union. Orang-orang Cina yang berada di Tanah Melayu berasa dikhianati kerana mereka tahu jumalah orang Cina yang terkorban lebih besar berbanding orang Melayu, sepanjang peperangan dengan Jepun. Sesetengah daripada orang Cina yang tidak puas hati kini melihat Parti Komunis Malaya sebagai harapan yang tunggal untuk mencapai sebuah kemerdekaan. Ini didasari oleh pendapat pihak British telah meminggirkan masyarakat cina Tanah Melayu.

0 comments: